Menteri Besar Negeri Sembilan rasmi Kota Seriemas Golf & Country Club

NILAI: Menteri Besar Negeri Sembilan (NS), Datuk Seri Mohamad Hasan merasmikan satu lagi lapangan golf berprestij di negeri ini semalam, yang dikenali sebagai di Kota Seriemas Golf & Country Club (KSGCC).

Mohamad menyifatkan KSGCC sebagai lapangan golf bertaraf antarabangsa yang bukan saja bakal menjadi tarikan di kalangan pemain golf tempatan dan profesional, malah pelancong.

“Saya yakin KSGCC yang diwujudkan di kawasan pembangunan baharu ini di sini, mampu menarik perhatian ramai kalangan pemain golf termasuk profesional dari luar negara.

“Malah, Kota Seriemas yang letaknya dalam kawasan Lembah Wawasan Malaysia (MVV) adalah strategik kerana mudah dihubungi melalui Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), Elite dan KESAS selain hanya kira-kira 10 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Sepang,” katanya di majlis itu.

KSGCC adalah milik PNB Development Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Hadir sama EXCO Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Jalaluddin Alias; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mat Ali Hassan; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Johani Hassan dan Ketua Polis Negeri, Datuk Jaafar Mohd Yusof.

Turut hadir Pengerusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar; Pengerusi PNBD Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB Development, Mohd Saleem Kailany.

Sementara itu, Mohd Saleem berkata KSGCC dilengkapi 18 lubang yang direka bentuk oleh arkitek terkenal dan berpengalaman, Nigel B Douglas dengan bertemakan alam hutan semula jadi termasuk hamparan rumput bermuda di lapangan 12 lubang.

Katanya, konsep reka bentuk bangunan kelab yang bercirikan klasik Inggeris menampilkan kelainan, malah banyak kemudahan disediakan antaranya kafeteria, surau, ruang menunggu, bilik persalinan, bilik kecemasan, dewan makan berhawa dingin dan bilik VVIP bertaraf eksklusif.

“Sejak dibuka pada Oktober lalu, KSGCC sudah terpilih sebagai medan beberapa pertandingan bertaraf antarabangsa di bawah kelolaan Persatuan Professional Golf Malaysia (PGA),” katanya.

Sempena perasmian itu, turut diadakan perlawanan golf membabitkan seramai 136 pemain selain pertandingan antara pasukan Pilihan NS dan Pilihan PNB Development. Ia dimenangi Pilihan NS selepas menghimpun 312 mata berbanding 298 lawannya.

Selanjutnya di : BHOnline